Thursday, February 4, 2021

Lapan bulan menjejak tanah selatan.

 2021, johor.

apa khabar diri sendiri usai sebulan melewati 2021? dari menjejak timur, kemudian utara, seterusnya barat dan kini selatan. "tidak penatkah hidup nomad begini", kata salah seorang temanku.

entah.

mungkin takdir masih mahu aku menjejak tanah yang berbeza.
mungkin di setiap perhentian itu, aku boleh melukis cerita yang berbeza.

tempat yang asing, jauh dari halaman.
berseorangan.
namun, tidak aku tahu dari mana datangnya kekuatan untuk terus hidup sebegini.

mungkin kerana sentiasa ada manusia-manusia yang baik yang aku jumpa.
mungkin kerana aku masih mampu mengukir senyum walau sesekali menyeka air mata.

bukan lah sesekali, ada banyaknya juga.
tapi, begitulah.

tidak pernah kita tahu ke benua lagi kita akan pergi.
masih berada di tempat yang sama bertahun-tahun, atau harus pergi menjejak asing lagi dan lagi.

hidup sebegini masih penuh bercampur baur.
pahit manis.
suka duka.
tangis tawa.

sulit, tapi sentiasa ada jalan yang diberi Tuhan untuk mempermudah dari sukar.
Alhamdulillah.


usai lapan bulan menjejak tanah selatan,
dan sudah menitik secebis sayang,
kotamasai.


Monday, April 20, 2020

kanak-kanak kecil dan 2020


sudah tahun 2020.

kalau dulu, waktu kecil kononnya di tahun 2020 hidup sudah lengkap. bayangan yang seperti drama-drama tipikal tentang kesempurnaan hidup setelah dewasa. mungkin sudah berkerjaya, ada kereta sendiri, masih menabung untuk beli rumah besar, punya pasangan dan rumahtangga yang harmoni, melancong melihat ke serata dunia serta hidup aman dan tenteram, sempurna.

mungkin itulah bayangan kanak-kanak kecil yang sedang belajar bersungguh-sungguh untuk upsr. dengan membawa azam yang tinggi walau jauh perjalanan untuk berjaya sehingga ke menara gading, maklumlah, dulu kalau tengok emak-emak saudara balik cuti semester dua tiga bulan, terus rasa macam wowww. haha. dalam bayangan, upsr pmr spm yang cemerlang. universiti yang gemilang. serta kerjaya yang terbilang. ahhh. begitu mudah perjalanan yang bermain di minda.

tapi sayang, hidup bukan sekadar perjalanan yang menyusur luruh. naifnya seorang kanak-kanak kecil. sungguh, mendewasa itu adalah proses yang sangat penuh dengan pahit manis, emosi dan perasaan yang tidak stabil tidak kurang juga ibarat ombak yang menghempas pantai. indah tapi sakit.

di hari ini, 2020 pada ruang dan waktu yang tertulis 25 tahun, sungguh angan-angan itu lenyap dek waktu yang mengajar bahawa hidup tidak hanya pada kebahagiaan yang tergambar. kereta? mak dan bapak yang masih bayarkan. rumah? jauh sekali. rumah tangga? duit simpanan pun ada cuma dua tiga ratus. melancong? dalam internet sahaja lah! hihi.

sempurna?

langsung tidak.

dengan pelbagai cerita yang bersusun atur, sungguh, tidak ada apa pun yang sempurna seperti yang tertulis dalam buku-buku yang pernah kita (baca: aku) intai. tapi hakikatnya, kehidupan yang dicatat oleh ruang dan waktu tika ini, adalah tulisan yang sebenar.

tulisan tentang bagaimana setiap hari itu perlu dilalui dengan apa adanya. tentang nasi kosong yang berlaukkan ayam goreng lebih sedap daripada chicken chop. tentang kopi ais warung yang lebih suka dinikmati daripada asian dolce latte kepunyaan starbucks. tentang axia putih yang lebih comel berbanding x70. tentang dunia yang serba-serbi hanya akan indah bergantung pada mata yang memandang.

mata yang bagaimana kita (baca:aku) hari ini?
:)